Tuesday, April 9, 2013

Usrah, hati atau ukhuwah yang kering??

"Abang, maaflah saya tak dapat hadir usrah minggu ni."
"Akak, saya ada kerja malam ni. Tak dapatlah nak join usrah."

Itu antara frasa yang selalu diterima oleh mana-mana naqib atau naqibah sejurus mereka mengeluarkan 'post' "Salam adik-adikku. Usrah jom!"

Maka, untuk menyedapkan hati para naqib ini, maka mereka selalu berfikir," Oh, mereka benar-benar sibuk barangkali. Lain kali boleh buat lagi."

Itu adalah jawapan bagi naqib-naqib yang selalu "bersangka baik" dengan anak usrahnya.

Namun, jangan disangka semua naqib ini berfikiran baik seperti itu. (Alamak, keras pulak bunyinya. Sila baca dengan nada yang lembut ya. ) Hal ini kerana pasti ada dalam kalangan naqib yang berfikir, " Ah budak ni. Orang nak bagi ilmu, dia buat-buat sibuk la pulak.  Jenis tak suka dengar perkara islamik barangkali!" Getus oleh hati yang marah dan perasan.

Walhal, dalam kepala si anak usrah pulak berkata," Ah malaslah nak pergi usrah abang ni. Dahlah bosan, kering pulak tu."

Ada juga yang berkata," Alah kakak ini. Time nak ajak usrah, punyalah baik. Tapi bila jumpa tepi jalan, senyum pun tak."

Itulah antara situasi-situasi yang selalu terjadi dalam institusi usrah sekarang. Usrah yang tak basah, hati sendiri yang kering dan ukhuwah yang dingin adalah antara permasalahan yang sering timbul yang menyebabkan sesuatu usrah itu dilihat gagal. Maka bagaimanakah permasalahan ini dapat dileraikan dan apakah faktor utama keberkesanan sesebuah usrah itu.

1) Usrah yang tidak basah

Sejak akhir-akhir ini, sering saja istilah usrah yang basah/tidak basah kedengaran. Namun, apakah sebenarnya yang dimaksudkan dengan istilah ini. Kita harus akui bahawa istilah ini mempunyai maksud yang amat luas dan ianya bersifat subjektif mengikut kehendak seseorang. Ada yang mengatakan, " Usrah basah ni jika bila jumpa, dapat peluk-peluk, cium-cium dan beramah mesra." Ada pulak yang berkata, "Usrah basah ni kalau dari awal usrah sampai akhir bincang pasal quran dan hadis je". Malah ada yang berkata, "Usrah basah ni kalau pengisiannya sampai di hati."

Saya kira kesemua definisi usrah yang basah ini mempunyai skop definisinya yang tersendiri. Ada yang menilai kebasahan sesuatu usrah itu berdasarkan ukhuwah, silibus dan juga cara penyampaiannya. Bagi saya, saya mendefinisikan kebasahan usrah ini dengan analogi yang amat ringkas sahaja. Sila buka youtube dan 'search' ceramah ustaz Dusuki atau ustaz Dr Asri atau mana-mana sahaja ustaz kegemaran anda, dan sila dengar dan hayati setiap bait-bait yang dilontarkan oleh mereka. Dan jika pengisian ceramah tersebut sampai atau meresap dalam hati atau terkesan dalam hati, maka itulah definisi saya sebagai 'basah' walhal saya tidak pernah kenal pun dengan ustaz-ustaz tersebut (maka tidak adalah unsur peluk cium segala bagai itu), namun kata-katanya tetap menyentuh hati ini. Inilah definisi kebasahan sesuatu usrah pada pendapat saya.

Masalah ini saya kira kesalahannya wajar diletakkan pada bahu naqib usrah yang gagal mengendalikan usrah dengan baik. Kepada para nuqaba', sila akui kesalahan anda ini. Sebagai defendan (tertuduh), anda perlu  meletakkan diri di tempat plaintif (penuduh iaitu anak usrah). Anda sewajarnya memikirkan apakah methodologi terbaik untuk membasahkan usrah anda yang kering dan tidak 'counterback' tuduhan ini dengan menyatakan, "Ah, engkau yang hati kering. Salahkan aku pulak."

Jadi, apakah solusi terbaik untuk permasalahan usrah yang kering ini? Senang sahaja, maka jadikanlah usrah itu basah. Kebasahan usrah ini tertakluk kepada ukuran anda sendiri. Jika terasa usrah itu kering kerana pengisian anda yang tidak cukup islamik, maka dalamilah ilmu agama dan membuat 'homework' secara terperinci akan topik yang akan dibentangkan sewaktu usrah nanti. (Bunyi seakan sangat idealistik bukan)

Jika terasa usrah itu kering kerana penyampaian anda yang syok sendiri mungkin, maka ubahlah cara penyampaian anda. Daripada terlalu 'rigid' dengan suasana usrah yang berbentuk halaqah, maka pelbagaikan bentuk usrah itu seperti adakan usrah yang berbentuk aktiviti luar dan kaitkan aktiviti tersebut dengan topik usrah. Dan jika usrah itu kering kerana ukhuwah yang dingin, maka fokuslah pada aktiviti yang lebih menjurus kepada mengeratkan silatulrahim. Tak perlulah untuk diterangkan secara mendalam, cukuplah jika ia memberi cetusan idea.

2) Hati sendiri yang kering

Tidak dinafikan bahawa usrah adalah wasilah untuk kita mencari ilmu dan mendalami ajaran agama kerana definisi usrah itu sendiri bermaksud suatu kelompok manusia yang berkumpul atas sebab untuk memahami dan menghayati ajaran Islam. Namun, dalam realiti hidup yang sebenar, kita cuma berbulatan paling kerap hanyalah seminggu sekali dan setiap pertemuan paling lama hanyalah 3 jam. Katakan kualiti ibadah dan iman kita dinilai pada dapatan daripada usrah, pastinya usrah itu tidak cukup untuk memberi sepenuh tarbiyah kepada kita dalam mendidik kita mengamalkan Islam yang sebenar. Justeru, kepada mereka yang selalu menggunakan alasan bahawa, "Ahh, usrah ini tak best lah. Tak basahlah." dan sebagainya, silalah nilai sendiri sejauh mana hati anda bersih untuk menerima ilmu Allah.

Malah, Allah ada berfirman dalam surah Al-Mutaffifin ayat 14 yang bermaksud, " Sekali-sekali tidak! Bahkan apa yang mereka kerjakan itu telah menutupi hati mereka."

Tambahan pula, Nabi SAW pernah bersabda dalam sebuah hadis Ahmad daripada At-Tabrani bersumberkan daripada Abu Sa'id al-Khudri, iaitu Nabi membahagikan hati kepada 4:

1) HATI yang bersih yang di dalamnya ada cahaya yang sentiasa bersinar-sinar. Itulah hati orang Mukmin.
2) HATI yang hitam dan terbalik kedudukannya (atas ke bawah dan sebaliknya). Itu adalah hati orang-orang kafir.
3) HATI yang tertutup dan terikat dengan penutup. Itu hati orang munafik.
4) HATI yang musfah (melintang) tidak berdiri tegak. Di situ ada keimanan dan di situ ada kemunafikan. Mana yang lebih banyak di situlah dia tergolong.

Permasalahan hati yang kering ini berlaku pada kedua-dua belah pihak, iaitu dalam konteks sebuah institusi usrah, naqib itu sendiri boleh jadi seorang yang berhati kering dan anak usrah itu juga berhati kering.

Melihat dari pandang sisi seorang naqib, jika naqib itu yang berhati kering, mana mungkin dia dapat 'membasahkan' hati mad'unya walhal hatinya sendiri kering kontang. Saya sangat tertarik dengan kata-kata ini, "Hanya hati yang bersih dapat membersihkan hati yang lain."

Melihat dari pandang sisi seorang anak usrah pula, hati yang sentiasa bergelumang dengan maksiat bukan senang untuk menerima tarbiyah. Bak kata Imam Syafi'e, “Ilmu itu cahaya dan cahaya Allah tidak akan diberikan kepada orang yang melakukan maksiat.”

Sesungguhnya, hati adalah tempat jatuhnya pandangan Allah buat hambaNya. Selalulah letakkan di dalam fikiran akan dua persoalan ini. "Di manakah kita di pandangan Allah dan Di manakah Allah di pandangan kita?" Marilah kita sama-sama menyegarkan hati yang kusam ini, meningkatkan iman yang rendah ini dan mendekatkan diri yang jauh ini dengan melakukan amalan-amalan berikut:

1) Membaca Al-quran dan merenung isi serta maknanya
2) Berzikir di waktu pagi
3) Banyakkan berpuasa sunat
4) Bangun malam beribadat
5) Berkumpul dengan orang-orang yang soleh

3) Ukhuwah yang dingin

Kalau kita telusuri sirah nabi ketika mana Nabi Muhammad SAW dan para sahabat berhijrah ke Madinah, antara perkara pertama yang dilaksanakan oleh Rasulullah SAW adalah mempersaudarakan golongan muhajir Mekah dengan penduduk tetap Madinah (golongan ansar). Persaudaraan ini telah memudahkan penyebaran Islam di Madinah selain dapat mewujudkan suasana yang aman dan tenteram.

Di sini, terbuktilah bahawa ukhuwah yang erat dan utuh adalah sangat penting dalam menjadikan sesebuah usrah itu berkesan. Namun, apakah kayu ukur bahawa ukhuwah yang terjalin dalam sebuah usrah itu sudah erat?

Saya sungguh tersentuh dengan analogi yang sering dipesan oleh murabbi saya. "Ukhuwah ini dalam kata mudah adalah kita berkawan. Kalau kita sampai dapat bercakap mengenai masalah peribadi dengan seseorang, maka ukhuwah itu sudah mantap!"

Maka, ambillah masa sebentar dan muhasabahlah sejauh mana eratnya ukhuwah kita dengan anak usrah kita dan 'what do you expect' daripada mereka untuk menerima apa yang kita sampaikan walhal kita tidak cukup rapat dengan mereka.

Malah, usrah itu sendiri mempunyai rukunnya yang terdiri daripada 3 aspek iaitu, taaruf (berkenalan), tafaham (bersefahaman) dan takaful (tolong-menolong) yang mana kesemua aspek rukun usrah ini adalah berkisarkan sejauh mana ukhuwah antara naqib dan ahli usrah itu terjalin.

Namun, persoalan ukhuwah adalah sangat berat dan sangat luas untuk dibincangkan. Malah, Allah telah berfirman dalam al-Quran, “Dan Dia (Allah) yang mempersatukan hati mereka (orang-orang yang beriman). Walaupun kamu membelanjakan semua (kekayaan) yang berada di bumi, niscaya kamu tidak dapat mempersatukan hati mereka, akan tetapi Allaah telah mempersatukan hati mereka.  Sesungguhnya Dia Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana.” (surah al-Anfal ayat 63)

Kesimpulannya...

Keberkesanan sesebuah institusi usrah itu tetap tertakluk kepada definisi masing-masing mengenai 'APA ITU USRAH?' Ingatlah, usrah itu adalah salah satu jalan tarbiyah dan tarbiyah itu luas. Maka, usah disempitkan makna tarbiyah itu dan jangan hanya memandang kualiti dan kuantiti tarbiyah itu pada keberkesanan sesebuah usrah.

Tarbiyah, tarbiyah dan tarbiyah..





Thursday, March 28, 2013

Nabi Musa dan Mesir..


Pada tahun 1978, Michael H. Hart telah menerbitkan sebuah buku yang bertajuk 100: Kedudukan Tokoh Paling Berpengaruh dalam Sejarah. Ia menyenaraikan kedudukan 100 orang tokoh, yang dalam pendapatnya, merupakan manusia paling berpengaruh dalam sejarah. Sewaktu saya mula membaca buku di usia 16 tahun dahulu, saya amat mengagumi kisah dua orang tokoh yang disenaraikan dalam buku tersebut, iaitu kisah Nabi Muhammad SAW dan Nabi Musa AS. Dari dulu, saya meletakkan hasrat untuk menjejaki tanah kelahiran dan menyelusuri kehidupan dua tokoh ini.

Alhamdulillah, baru-baru ini saya berpeluang menjejaki bumi Mesir iaitu bumi di mana lahirnya seorang nabi yang diutuskan oleh Allah untuk membawa umat manusia pada zamannya sujud kepada Allah SWT. Saya kira kisah hidup nabi Musa adalah antara sirah yang paling banyak diceritakan dalam Al-Quran, dan malah turut diceritakan dalam Bible. Jadi, marilah kita susuri sedikit kisah perjalanan nabi Musa yang saya kira sangat menarik!

Kisah kelahiran nabi Musa AS telah diceritakan secara terperinci dalam surah al-Qasas.
“Sungguh, Fir'aun telah berbuat sewenang-wenang di muka bumi dan menjadikan penduduknya berpecah belah dengan menindas segolongan dari mereka (bani Israel), dia menyembelih anak lelaki mereka dan membiarkan hidup anak-anak perempuan mereka. Sesungguhnya Fir'aun termasuk orang-orang yang berbuat kerosakan” (4)

“Dan Kami hendak memberi kurnia kepada orang-orang yang tertindas di bumi {Mesir} itu dan hendak menjadi mrk pemimpin dan menjadikan mrk orang-orang yang mewarisi {bumi}” (5)

“ Dan Kami akan teguhkan kedudukan mrk di muka bumi dan akan Kami perlihatkan kepada Fir'aun dan Haman berserta tenteranya apa yang selalu mereka khuatirkan dari mereka itu.” (6)

“Dan Kami ilhamkan kepada ibu Musa, "Susukanlah dia, dan apabila kamu khuatir terhadapnya, maka hanyutkanlah dia ke dalam sungai {Nil}. Dan janganlah kamu takut dan janganlah pula bersedih hati, sesungguhnya Kami akan mengembalikannya kepadamu, dan menjadikannya salah seorang rasul.” (7)

“ Maka dia dipungut oleh keluarga Fir'aun agar (kelak) dia menjadi musuh dan kesedihan bagi mereka. Sesungguhnya Fir'aun dan Haman berserta tenteranya adalah orang-orang yang bersalah.” (8)

“Dan berkatalah isteri Fir'aun: "Dia adalah penyejuk mata hati bagiku dan bagimu. Janganlah kamu membunuhnya, mudah-mudahan dia bermanfaat kepada kita atau kita ambil dia menjadi anak," sedang mereka tidak menyedari.” (9)

“Dan hati ibu Musa menjadi kosong. Sungguh , hamper saja dia menyatakannya (rahsia tentang Musa), seandainya Kami tidak teguhkan hatinya, agar dia termasuk orang-orang yang beriman (kepada janji Allah).” (10)

“ Dan berkatalah ibu Musa kepada saudara perempuan Musa, "Ikutilah dia (Musa)". Maka kelihatan olehnya Musa dari jauh, sedang mereka tidak mengetahuinya.” (11)

“Dan Kami cegah Musa dari menyusu kepada perempuan-perempuan yang mahu menyusukannya sebelum itu, maka berkatalah saudara Musa: "Mahukah kamu aku tunjukkan kepada kamu keluarga yang akan memeliharakannya untukmu dan mereka dapat berlaku baik kepadanya?" (12)

“Maka Kami kembalikan Musa kepada ibunya supaya senang hatinya dan tidak bersedih hati dan agar dia mengetahui bahawa janji Allah itu adalah benar, tetapi manusia kebanyakan tidak mengetahuinya." (13)

Daripada ayat 3 hingga 13 surah al-Qasas ini, bolehlah saya simpulkan bahawa sewaktu zaman pemerintahan firaun ini, (tidak pasti zaman firaun mana) beliau telah terkejut oleh ramalan oleh seorang ahli nujum kerajaan yang dengan tiba-tiba datang menghadap raja dan memberitahu bahwaa menurut firasatnya falaknya, seorang bayi lelaki akan dilahirkan dari kalangan Bani Israil yang kelak akan menjadi musuh kerajaan dan bahkan akan membinasakannya.

Mendengar ramalan itu, Raja Firaun tidak senang duduk dan mengeluarkan perintah agar semua rumah digeledah dan kesemua bayi lelaki yang baru dilahirkan dibunuh hidup-hidup serta, wanita yang sedang hamil turut diawasi sehingga tiba hari kelahiran bayi mereka. Raja Firaun kembali tenang apabila mendengar bahawa kota pemerintahannya telah bersih dan tidak seorang pun bayi lelaki yang hidup.

Kuasa Allah tidak ada sesiapa yang boleh menandinginya. Ditakdirkan, Yukabad, isteri Imron bin Qahat bin Lawi bin Yaqub sedang duduk seorang diri di salah satu sudut rumahnya menanti datangnya seorang bidan yang akan memberi pertolongan kepadanya melahirkan bayi. Maka datanglah bidan tersebut membantunya melahirkan bayinya. Yukabad menjadi takut selepas mengetahui bayinya adalah bayi laki-laki dan khuatir jika dibunuh oleh orang suruhan Firaun.  Maka, Yukabad merayu pada bidan tersebut agar menyembunyikan kelahiran itu. Melihat kepada si ibu yang sangat sayangkan anaknya, lantas bidan tersebut bersetuju untuk merahsiakan akan kelahiran tersebut.

Setelah bayi tersebut menjangkau usia tiga bulan, Yukabad menjadi semakin khuatir dan cemas akan keselamatan bayinya. Lalu, Allah memberi ilham kepadanya agar menyembunyikan bayinya dalam sebuah peti dan menghanyutkannya ke sungai Nil. (7)

Dengan bertawakkal kepada Allah, maka dihanyutkan bayi itu  setelah ditutup rapat dan dicat dengan warna hitam, terapung dipermukaan air sungai Nil. Kakak Musa diperintahkan oleh ibunya untuk mengawasi dan mengikuti peti itu agar diketahui ke mana bayi tersebut akan dihanyutkan dan kepada siapa bayi itu akan dibawa.

Alangkah cemasnya hati kakak Musa, ketika melihat dari jauh peti tersebut dijumpai oleh keluarga Firaun dan dibawa masuk ke dalam istana.  (8) Namun, Isteri firaun iaitu Asiah berjaya meyakinkan firaun untuk menjaga bayi tersebut sepertimana diceritakan dalam ayat ke 9.
Nama Musa yang telah diberikan kepada bayi itu oleh keluarga Firaun, bererti air dan pohon  {Mu=air , Sa=pohon} bersesuaian dengan tempat bayi tersebut dipungut.

Kemudian didatangkan ke istana beberapa orang perempuan untuk menjadi ibu susuan Musa, namun setiap daripada mereka ditolak oleh bayi tersebut yang enggan menerima air susunya. Dalam keadaan isteri Firaun lagi bingung memikirkan bayinya itu yang enggan menyusu, datanglah kakak Musa menawarkan seorang perempuan untuk menyusukan bayi tersebut. (12)

Atas pertanyaan keluarga Firaun, kalau-kalau dia mengenal keluarga bayi itu, berkatalah kakak Musa: "Aku tidak mengenal siapakah keluarga dan ibu bayi ini. Hanya aku ingin menunjukkan satu keluarga yang baik dan selalu rajin mengasuh anak, kalau-kalau bayi itu dapat menerima air susu ibu keluarga itu". 

Tawaran Kakak Musa itu diterima oleh isteri Firaun lalu dibawalah Yukabad menghadap istana.  Maka begitu bibir bayi itu  menyentuh tetek ibunya, disedutlah air susu ibu kandungnya itu dengan sangat lahapnya. Lalu, diserahkan Musa kepada Yukabad ibunya, untuk diasuh selama masa menyusu. Maka dengan demikian terlaksanalah janji Allah kepada Yukabad bahawa dia akan menerima kembali puteranya itu. (13)

Menarik bukan kisah nabi Musa. InshaAllah nanti kisah nabi Musa ketika dia remaja dan diangkat menjadi rasul akan saya ceritakan kemudian.

“Inilah barakah tinggalan anbia di bumi ini.
Menjadi pusat ilmuan islam seluruh alam.
Di sinilah lahirnya ramai ilmuan, ulama', imam-imam.
Dan di sinilah letaknya makam-makam tokoh islam.”

20:21 28 Mac 2013
Merindui Kaherah…


Monday, March 4, 2013

Kematian itu PASTI..

Assalamualaikum wbt..

Alhamdulillah kerana hari ini tepat jam 4.51 petang bertarikh 4 Mac 2013, saya masih lagi diberikan waktu untuk bernafas di atas muka ini. Sejujurnya, pada saat ini saya ada dua kerja tertangguh dan kedua-duanya adalah report yang perlu disiapkan. Namun, hati ini meronta-ronta ingin melakarkan kata-kata di alam maya ini.


Minggu lalu, saya dikejutkan dengan berita kematian seorang teman satu tingkatan sewaktu sama-sama belajar di SMKA Nurul Ittifaq dahulu. Kami berkenalan dalam masa yang agak lama, iaitu dari tingkatan 1 sehingga tingkatan 5. Walaupun kami bukanlah sahabat akrab, namun berita kematiannya meruntun hati ini. Pada pagi sabtu lepas, saya terbaca suatu post di facebook oleh salah seorang sahabat akrab arwah yang menceritakan detik-detik kematian arwah. Kisahnya, arwah mati akibat lemas dalam usahanya menyelamatkan kawannya yang sedang tenggelam. Allahu Rabbi, saya kira arwah menemui ajal dalam keadaan husnul khatimah. 


Berkali-kali saya membaca post itu. Dalam hati, saya meletakkan saya di posisi sahabat arwah itu. Allah, memang ia satu dugaan yang sangat berat untuk menerima takdir bahawa seorang sahabat karib telah menemui ajal di depan mata. Moga dia tabah menghadapi perpisahan ini. Jauh dalam benak hati ini, saya sangat gusar dan rungsing memikirkan takdir kematian sendiri. Apakah malaikat Izrail akan menarik nyawa ini ketika diri sudah benar-benar bersedia untuk menghadap Tuhan dengan amal pahala yang cukup? Apakah kehidupan saya di dunia ini akan berakhir dengan husnul khatimah? Allahu Allah, saya terdiam pada pagi itu.

3:102

" Wahai orang-orang yang beriman! Bertaqwalah kepada Allah sebenar-benar taqwa kepadaNya dan janganlah kamu mati kecuali dalam keadaan muslim."

Pagi itu, saya memandang sahabat-sahabat di keliling saya. Ada dalam kalangan mereka adalah sahabat-sahabat yang sangat akrab degan saya. Terlintas di fikiran, tabahkah hati ini jika berhadapan saat kematian salah seorang daripada mereka? Dan adakah mereka akan mendoakan saya andai kematian menjemputku dahulu? 


Allahu Rabbi, apakah nasibku di sana nanti? Baikkah atau sebaliknya? Aku takutkan mati, namun aku leka dengan dunia. Apakah wabak wahan sudak menular dalam hati ini?

Dalam sebuah hadis, Rasulullah bersabda yang bermaksud, " Sesungguhnya di dalam tubuh manusia ada seketul daging, jika baik daging itu maka baiklah seluruh tubuhnya dan jika rosak daging itu, rosaklah seluruh tubuhnya serta ketahuilah ia adalah hati." (Riwayat Bukhari dan Muslim)

83:13
83:14
"Yang apabila dibacakan kepadanya ayat-ayat Kami, dia berkata, "itu adalah dongeng orang-orang dahulu". (13) Seakali-kali tidak ! Bahkan apa yang mereka kerjakan itu telah menutupi hati mereka. (14)"

Ya Allah, apakah hati ini telah dilitupi dengan kegelapan dek kemaksiatan yang melampau kepadaMu sehingga bila baca al-Quran, hati ini tidak tersentuh pun. 


Pada kalian yang membaca post ini, doa-doakan diri ini agar dibukakan hati dan dirahmati Allah selalu. Mungkin Allah makbulkan doa kalian dan memelihara hati ini daripada kemaksiatan.


Sampai bertemu..


Tuesday, February 5, 2013

diri yang hilang...

Bismillahirrahmanirrahim..

Allahu Allah. Lama sekali aku tidak membersihkan habuk dan sawang yang ku kira sudah lama membiak dalam laman sesawang ini. Pantas sungguh masa berlalu sehingga aku merasakan baru beberapa hari lepas aku melewati laman ini, rupanya sudah hampir lima purnama barangkali.

Sungguh, banyak sekali perkara yang aku alami sepanjang 'ketiadaanku' di laman ini. Bermula dengan musim persekolahan dari 24 september 2012 hingga 14 disember 2012, memang tiada mampu aku nafikan, rutin harian berubah sama sekali. Memandangkan jadual kelas yang agak padat, ditambah dengan kesibukan menyiapkan tugasan sebagai seorang pelajar, aku fikir ia adalah perkara normal bukan? Semenjak dari cuti musim panas dahulu, aku rasa aku tidak mahu hanya menjadi insan 'normal' yang paginya hanya belajar, malamnya berehat kemudiannya keesokannya bangkit semula melakukan rutin yang sama. Jika begitulah rutinku sebagai seorang hamba Allah, dimanakah bezanya aku dengan mereka yang belum beriman denganNya? Apakah aku mampu menggapai syurgaNya andai hidup hanya bersenang-lenang, tiada kerisauan walau sekelumit pun, tiada terlintas pun memikirkan mengenai ummah? T_T

Pertemuan dengan ustaz-ustaz terkemuka menginsafkan aku. Betapa hidup ini perlu berjuang mempertahankan kalimah Allah. Betapa syurga itu sukar untuk digapai jika hanya berpangku tangan. Betapa seruan dakwahNya wajib dilaksanakan. Teringat sebuah hadis yang disampaikan oleh seorang ustaz,


Sahabat berkata kepada Rasulullah, “Wahai Rasulullah, apakah seorang yang berjuang kerana marahkan sesuatu puak itu dikatakan jihad fisabilillah?”

“Tidak. Itu tidak termasuk jihad fisabilillah.”

“Apakah seorang yang berjuang kerana tunjuk berani itu jihad fisabilillah?” tanya Sahabat lagi.


“Tidak,” jawab Rasulullah.


“Apakah berjuang fisabilillah itu berjihad kerana bangsa?”


“Bukan.”


“Kalau begitu, ya Rasulullah, apa itu jihad fisabilillah?”

“Berjihad fisabilillah itu ialah berjuang di jalan Allah untuk menegakkan kalimah Allah hingga menjadi tinggi. Jihad itu ialah untuk meninggikan kalimah Allah.”


Kadang aku jadi malu melihat teman seusiaku sudah jauh menapakkan diri dalam medan dakwah. Sudah lama lantang menyuarakan kebenaran. Sudah teguh dengan perdirian dan fikrah yang benar. Aku? Aku jauh ketinggalan di belakang. Cuba dikejar, masih jua jauh untuk sebaris. Bangkitlah wahai jiwa! Usah lagi lemah dan lesu. Perjuangan ini tidak pernah menunggu mereka yang lambat.

Ambillah ibrah dari kisah seekor pipit pada zaman nabi Ibrahim,

Semasa Nabi Ibrahim sedang dibakar oleh raja Namrud yang zalim, seekor burung pipit berulang-alik dari sebuah kolam ke lembah tempat nabi Ibrahim sedang dibakar dengan membawa air kolam tadi dalam paruhnya yang kecil.

Kejadian ini dilihat oleh Malaikat Jibril a.s. & Jibril bertanya kpd sang pipit

"Adakah air itu mampu untuk memadamkan api yg menggila marak dan besar itu?"


Lalu sang pipit menjawab, 

"Yg dia tahu bahawa air yang dibawa tidak terpadamkan api yang ganas itu. Namun, sekurang-kurangnya aku telah menjalankan tanggungjawab dan tidak berdiam diri apabila melihat kekasih Allah dizalimi oleh orang kafir."

Sekian, sampai bertemu..