Tuesday, April 9, 2013

Usrah, hati atau ukhuwah yang kering??

"Abang, maaflah saya tak dapat hadir usrah minggu ni."
"Akak, saya ada kerja malam ni. Tak dapatlah nak join usrah."

Itu antara frasa yang selalu diterima oleh mana-mana naqib atau naqibah sejurus mereka mengeluarkan 'post' "Salam adik-adikku. Usrah jom!"

Maka, untuk menyedapkan hati para naqib ini, maka mereka selalu berfikir," Oh, mereka benar-benar sibuk barangkali. Lain kali boleh buat lagi."

Itu adalah jawapan bagi naqib-naqib yang selalu "bersangka baik" dengan anak usrahnya.

Namun, jangan disangka semua naqib ini berfikiran baik seperti itu. (Alamak, keras pulak bunyinya. Sila baca dengan nada yang lembut ya. ) Hal ini kerana pasti ada dalam kalangan naqib yang berfikir, " Ah budak ni. Orang nak bagi ilmu, dia buat-buat sibuk la pulak.  Jenis tak suka dengar perkara islamik barangkali!" Getus oleh hati yang marah dan perasan.

Walhal, dalam kepala si anak usrah pulak berkata," Ah malaslah nak pergi usrah abang ni. Dahlah bosan, kering pulak tu."

Ada juga yang berkata," Alah kakak ini. Time nak ajak usrah, punyalah baik. Tapi bila jumpa tepi jalan, senyum pun tak."

Itulah antara situasi-situasi yang selalu terjadi dalam institusi usrah sekarang. Usrah yang tak basah, hati sendiri yang kering dan ukhuwah yang dingin adalah antara permasalahan yang sering timbul yang menyebabkan sesuatu usrah itu dilihat gagal. Maka bagaimanakah permasalahan ini dapat dileraikan dan apakah faktor utama keberkesanan sesebuah usrah itu.

1) Usrah yang tidak basah

Sejak akhir-akhir ini, sering saja istilah usrah yang basah/tidak basah kedengaran. Namun, apakah sebenarnya yang dimaksudkan dengan istilah ini. Kita harus akui bahawa istilah ini mempunyai maksud yang amat luas dan ianya bersifat subjektif mengikut kehendak seseorang. Ada yang mengatakan, " Usrah basah ni jika bila jumpa, dapat peluk-peluk, cium-cium dan beramah mesra." Ada pulak yang berkata, "Usrah basah ni kalau dari awal usrah sampai akhir bincang pasal quran dan hadis je". Malah ada yang berkata, "Usrah basah ni kalau pengisiannya sampai di hati."

Saya kira kesemua definisi usrah yang basah ini mempunyai skop definisinya yang tersendiri. Ada yang menilai kebasahan sesuatu usrah itu berdasarkan ukhuwah, silibus dan juga cara penyampaiannya. Bagi saya, saya mendefinisikan kebasahan usrah ini dengan analogi yang amat ringkas sahaja. Sila buka youtube dan 'search' ceramah ustaz Dusuki atau ustaz Dr Asri atau mana-mana sahaja ustaz kegemaran anda, dan sila dengar dan hayati setiap bait-bait yang dilontarkan oleh mereka. Dan jika pengisian ceramah tersebut sampai atau meresap dalam hati atau terkesan dalam hati, maka itulah definisi saya sebagai 'basah' walhal saya tidak pernah kenal pun dengan ustaz-ustaz tersebut (maka tidak adalah unsur peluk cium segala bagai itu), namun kata-katanya tetap menyentuh hati ini. Inilah definisi kebasahan sesuatu usrah pada pendapat saya.

Masalah ini saya kira kesalahannya wajar diletakkan pada bahu naqib usrah yang gagal mengendalikan usrah dengan baik. Kepada para nuqaba', sila akui kesalahan anda ini. Sebagai defendan (tertuduh), anda perlu  meletakkan diri di tempat plaintif (penuduh iaitu anak usrah). Anda sewajarnya memikirkan apakah methodologi terbaik untuk membasahkan usrah anda yang kering dan tidak 'counterback' tuduhan ini dengan menyatakan, "Ah, engkau yang hati kering. Salahkan aku pulak."

Jadi, apakah solusi terbaik untuk permasalahan usrah yang kering ini? Senang sahaja, maka jadikanlah usrah itu basah. Kebasahan usrah ini tertakluk kepada ukuran anda sendiri. Jika terasa usrah itu kering kerana pengisian anda yang tidak cukup islamik, maka dalamilah ilmu agama dan membuat 'homework' secara terperinci akan topik yang akan dibentangkan sewaktu usrah nanti. (Bunyi seakan sangat idealistik bukan)

Jika terasa usrah itu kering kerana penyampaian anda yang syok sendiri mungkin, maka ubahlah cara penyampaian anda. Daripada terlalu 'rigid' dengan suasana usrah yang berbentuk halaqah, maka pelbagaikan bentuk usrah itu seperti adakan usrah yang berbentuk aktiviti luar dan kaitkan aktiviti tersebut dengan topik usrah. Dan jika usrah itu kering kerana ukhuwah yang dingin, maka fokuslah pada aktiviti yang lebih menjurus kepada mengeratkan silatulrahim. Tak perlulah untuk diterangkan secara mendalam, cukuplah jika ia memberi cetusan idea.

2) Hati sendiri yang kering

Tidak dinafikan bahawa usrah adalah wasilah untuk kita mencari ilmu dan mendalami ajaran agama kerana definisi usrah itu sendiri bermaksud suatu kelompok manusia yang berkumpul atas sebab untuk memahami dan menghayati ajaran Islam. Namun, dalam realiti hidup yang sebenar, kita cuma berbulatan paling kerap hanyalah seminggu sekali dan setiap pertemuan paling lama hanyalah 3 jam. Katakan kualiti ibadah dan iman kita dinilai pada dapatan daripada usrah, pastinya usrah itu tidak cukup untuk memberi sepenuh tarbiyah kepada kita dalam mendidik kita mengamalkan Islam yang sebenar. Justeru, kepada mereka yang selalu menggunakan alasan bahawa, "Ahh, usrah ini tak best lah. Tak basahlah." dan sebagainya, silalah nilai sendiri sejauh mana hati anda bersih untuk menerima ilmu Allah.

Malah, Allah ada berfirman dalam surah Al-Mutaffifin ayat 14 yang bermaksud, " Sekali-sekali tidak! Bahkan apa yang mereka kerjakan itu telah menutupi hati mereka."

Tambahan pula, Nabi SAW pernah bersabda dalam sebuah hadis Ahmad daripada At-Tabrani bersumberkan daripada Abu Sa'id al-Khudri, iaitu Nabi membahagikan hati kepada 4:

1) HATI yang bersih yang di dalamnya ada cahaya yang sentiasa bersinar-sinar. Itulah hati orang Mukmin.
2) HATI yang hitam dan terbalik kedudukannya (atas ke bawah dan sebaliknya). Itu adalah hati orang-orang kafir.
3) HATI yang tertutup dan terikat dengan penutup. Itu hati orang munafik.
4) HATI yang musfah (melintang) tidak berdiri tegak. Di situ ada keimanan dan di situ ada kemunafikan. Mana yang lebih banyak di situlah dia tergolong.

Permasalahan hati yang kering ini berlaku pada kedua-dua belah pihak, iaitu dalam konteks sebuah institusi usrah, naqib itu sendiri boleh jadi seorang yang berhati kering dan anak usrah itu juga berhati kering.

Melihat dari pandang sisi seorang naqib, jika naqib itu yang berhati kering, mana mungkin dia dapat 'membasahkan' hati mad'unya walhal hatinya sendiri kering kontang. Saya sangat tertarik dengan kata-kata ini, "Hanya hati yang bersih dapat membersihkan hati yang lain."

Melihat dari pandang sisi seorang anak usrah pula, hati yang sentiasa bergelumang dengan maksiat bukan senang untuk menerima tarbiyah. Bak kata Imam Syafi'e, “Ilmu itu cahaya dan cahaya Allah tidak akan diberikan kepada orang yang melakukan maksiat.”

Sesungguhnya, hati adalah tempat jatuhnya pandangan Allah buat hambaNya. Selalulah letakkan di dalam fikiran akan dua persoalan ini. "Di manakah kita di pandangan Allah dan Di manakah Allah di pandangan kita?" Marilah kita sama-sama menyegarkan hati yang kusam ini, meningkatkan iman yang rendah ini dan mendekatkan diri yang jauh ini dengan melakukan amalan-amalan berikut:

1) Membaca Al-quran dan merenung isi serta maknanya
2) Berzikir di waktu pagi
3) Banyakkan berpuasa sunat
4) Bangun malam beribadat
5) Berkumpul dengan orang-orang yang soleh

3) Ukhuwah yang dingin

Kalau kita telusuri sirah nabi ketika mana Nabi Muhammad SAW dan para sahabat berhijrah ke Madinah, antara perkara pertama yang dilaksanakan oleh Rasulullah SAW adalah mempersaudarakan golongan muhajir Mekah dengan penduduk tetap Madinah (golongan ansar). Persaudaraan ini telah memudahkan penyebaran Islam di Madinah selain dapat mewujudkan suasana yang aman dan tenteram.

Di sini, terbuktilah bahawa ukhuwah yang erat dan utuh adalah sangat penting dalam menjadikan sesebuah usrah itu berkesan. Namun, apakah kayu ukur bahawa ukhuwah yang terjalin dalam sebuah usrah itu sudah erat?

Saya sungguh tersentuh dengan analogi yang sering dipesan oleh murabbi saya. "Ukhuwah ini dalam kata mudah adalah kita berkawan. Kalau kita sampai dapat bercakap mengenai masalah peribadi dengan seseorang, maka ukhuwah itu sudah mantap!"

Maka, ambillah masa sebentar dan muhasabahlah sejauh mana eratnya ukhuwah kita dengan anak usrah kita dan 'what do you expect' daripada mereka untuk menerima apa yang kita sampaikan walhal kita tidak cukup rapat dengan mereka.

Malah, usrah itu sendiri mempunyai rukunnya yang terdiri daripada 3 aspek iaitu, taaruf (berkenalan), tafaham (bersefahaman) dan takaful (tolong-menolong) yang mana kesemua aspek rukun usrah ini adalah berkisarkan sejauh mana ukhuwah antara naqib dan ahli usrah itu terjalin.

Namun, persoalan ukhuwah adalah sangat berat dan sangat luas untuk dibincangkan. Malah, Allah telah berfirman dalam al-Quran, “Dan Dia (Allah) yang mempersatukan hati mereka (orang-orang yang beriman). Walaupun kamu membelanjakan semua (kekayaan) yang berada di bumi, niscaya kamu tidak dapat mempersatukan hati mereka, akan tetapi Allaah telah mempersatukan hati mereka.  Sesungguhnya Dia Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana.” (surah al-Anfal ayat 63)

Kesimpulannya...

Keberkesanan sesebuah institusi usrah itu tetap tertakluk kepada definisi masing-masing mengenai 'APA ITU USRAH?' Ingatlah, usrah itu adalah salah satu jalan tarbiyah dan tarbiyah itu luas. Maka, usah disempitkan makna tarbiyah itu dan jangan hanya memandang kualiti dan kuantiti tarbiyah itu pada keberkesanan sesebuah usrah.

Tarbiyah, tarbiyah dan tarbiyah..